
Laporan/foto : Lim Poh Choo/ Bolhan Basah (Sarawak)
KUCHING, 3 Nov (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat Kampung Budaya Sarawak (SCV) sempena lawatan rasmi baginda berdua ke negeri berkenaan bermula 31 Okt hingga hari ini.
Pelbagai program menarik dihadiri pasangan diraja itu dan SCV menjadi lokasi baginda berdua mencemar duli menyaksikan sendiri cerminan keunikan pelbagai budaya yang terdapat di Bumi Kenyalang.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah menyaksikan proses menenun kain Pua Kumbu di Rumah Panjang Iban.
Keberangkatan tiba Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah sekitar jam 10 pagi semalam disambut anakanda Premier Sarawak iaitu Dayang Norjihan Abang Abdul Rahman Zohari.
Semasa sesi lawatan, Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang berkesempatan meninjau rumah tradisional kaum-kaum di Sarawak seperti Rumah Panjang Iban, Rumah Baruk Bidayuh, Pondok Penan, Rumah Panjang Orang Ulu, Rumah Tinggi Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina.
Selain itu, baginda berdua turut berkenan menyaksikan persembahan khas ‘Rentap, The Battle Bukit Sadok’ di Panggung Budaya oleh artis budaya SCV.
Kehadiran baginda berdua sesungguhnya amat dinantikan pelbagai pihak dan menjadi kebanggaan rakyat setempat yang amat menyayangi baginda terutama ketika Sultan Abdullah memegang pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Baginda sekeluarga juga sebelum ini pernah mencemar duli ke Sarawak sempena Kembara Borneo pada dua tahun lepas.

Baginda berdua menyaksikan persembahan kebudayaan etnik Bidayuh ketika melawat Baruk Bidayuh.
“Ini adalah satu lawatan yang ditunggu-tunggu dan hari ini kami bersyukur kerana baginda berdua dapat datang ke Kampung Budaya dan melihat keindahan alam sekitar di sini.
“Kami juga berharap baginda berdua bergembira dengan persembahan yang telah dipersembahkan oleh artis budaya SCV,” kata Nizerley Beki, Pegawai Perhubungan Awam di SCV.

Audrey Nicholas (kiri) dan Nizerley Beki ( kanan) gembira dengan kehadiran baginda berdua ke SCV.
Pengurus Kualiti SCV, Audrey Nicholas, berharap lawatan baginda berdua tidak menjadi yang terakhir, sambil mengharapkan keberangkatan kerabat lain serta kehadiran lebih ramai rakyat Pahang ke SCV pada masa hadapan.
Sementara itu, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Mawang, Subina Dinies begitu teruja dan gembira dapat berjumpa baginda berdua pada lawatan berkenaan.
“Rombongan kami seramai 25 orang, termasuk sembilan murid dari SK Lubok Mawang yang mengadakan lawatan ke SCV buat kali pertama. Siapa sangka kami amat bertuah dapat bertemu dengan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah yang mencemar duli di sini. Tentunya ini akan menjadi kenangan manis untuk kami semua,” katanya.
-RJ-





