
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)/Facebook Universiti Utara Malaysia (Official FB)
SINTOK, 6 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 20 pelajar cemerlang daripada kumpulan B40 Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menerima bantuan kewangan berjumlah RM84,000 tahun hadapan.
Bantuan kepada pelajar terpilih dari Kolej Perniagaan (COB) berkenaan adalah hasil kelulusan Yayasan Bursa Malaysia melalui Mesyuarat Jawatankuasa Dana Bursa Malaysia (Bursa Endowment Committee BMEC) Kali ke-8 Bil. 2/2025 yang diadakan di kampus itu, semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Dana Bursa Malaysia (Bursa Endowment Committee BMEC) Kali ke-8 Bil. 2/2025 yang diadakan semalam.
Setiap pelajar akan menerima RM2,100 bagi setiap semester selama dua semester, menjadikan jumlah keseluruhan RM4,200 seorang, tertakluk kepada syarat mengekalkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) minimum 3.60.
Naib Canselor UUM Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata inisiatif itu bertujuan memberi peluang lebih luas kepada pelajar B40 yang cemerlang untuk terus mengekalkan prestasi akademik tinggi serta meningkatkan kebolehpasaran diri.
“Bantuan ini bukan sekadar sokongan kewangan tetapi dorongan moral kepada pelajar untuk terus berjaya dan menjadi kebanggaan universiti,” katanya.
Turut hadir Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed yang juga Profesor Adjung UUM, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Azizuddin Mohd. Sani dan Penolong Naib Canselor (menjalankan fungsi) UUM COB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.
Fad’l dalam ucapannya berkata Bursa Malaysia komited memperkukuh akses pendidikan berkualiti kepada golongan muda serta menggalakkan penyertaan mereka dalam bidang kewangan dan pasaran modal negara.
Dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut, UUM dan Yayasan Bursa Malaysia terus memperkukuh agenda pembangunan bakat muda, memperluas akses pendidikan berkualiti serta memperkasa ekonomi melalui penyelidikan dan inovasi berasaskan pasaran modal.
-RI





