
Laporan/foto: Muhammad Nashran/Ikhwan Fahim (Kampar)
GOPENG, 6 Nov (MalaysiaAktif) – Latihan Simulasi Bencana Peringkat Daerah Kampar (KEDEX) 2025 yang melibatkan senario cemas di Gua Tempurung di sini, diadakan bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta kecekapan koordinasi pelbagai agensi penyelamat dan jabatan kerajaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar menyempurnakan gimik perasmian sebelum latihan simulasi bencana KEDEX 2025 bermula.
Latihan yang berakhir semalam itu bertujuan memastikan penyelarasan tindakan pantas dan berkesan ketika menghadapi situasi sebenar seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan kejadian luar jangka lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar Syariza Mohamed Odman berkata latihan seumpama ini dapat memupuk kerjasama antara agensi selain menjadi platform penting untuk menilai keupayaan logistik, komunikasi dan koordinasi operasi di lapangan.
“Diharapkan latihan seperti ini tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam prosedur dan keupayaan tindak balas bencana pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sekretariat khususnya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kampar yang menjadi tulang belakang penganjuran latihan, serta semua agensi yang memberikan komitmen penuh.

Latihan simulasi KEDEX 2025 saksikan kecekapan pasukan JBPM dalam operasi menyelamat mangsa.
KEDEX 2025 melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar, Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pelaksanaan latihan itu bukan sahaja menonjolkan semangat kerjasama antara agensi penyelamat dan jabatan kerajaan, malah memperkukuh kesiapsiagaan negeri Perak khususnya daerah Kampar dalam menghadapi sebarang insiden bencana alam secara bersepadu.
-RI





