
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Seramai 23,142 Ketua Isi Rumah (KIR) di Johor telah mendaftar dengan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (MyIBJKM).

Nur Hanisah (duduk kiri) bersama tenaga kerja program Influencer@JAPEN Johor: Apa Cerita Ek? di Studio CMS Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Johor, hari ini.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kebajikan, Produktif dan Komuniti JKM Johor Nur Hanisah Ismail berkata angka itu menunjukkan peningkatan penerimaan dalam penggunaan platform digital bagi pengurusan bencana di negeri itu.
“Aplikasi ini membolehkan mangsa bencana melaksanakan pengurusan kendiri sebelum, semasa dan selepas kejadian, termasuk proses pendaftaran serta rujukan maklumat di PPS (pusat pemindahan sementara).
“MyIBJKM turut memudahkan JKM dan agensi berkaitan menguruskan data mangsa secara lebih tersusun serta memastikan penyaluran bantuan dilaksanakan secara cepat, teratur dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Influencer@JAPEN Johor: Apa Cerita Ek? di Studio CMS JAPEN Johor, di sini hari ini.

Setakat ini, sebanyak 23,142 Ketua Isi Rumah (KIR) di Negeri Johor telah berdaftar melalui MyIBJKM.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan pemohon bantuan supaya memastikan maklumat serta dokumen yang dikemukakan adalah lengkap dan tepat selain memberikan kerjasama penuh kepada pegawai yang menjalankan siasatan.
Nur Hanisah turut menasihatkan mangsa di PPS agar mematuhi arahan pasukan bertugas serta mengemas kini maklumat peribadi dan ahli keluarga dalam aplikasi MyIBJKM bagi melancarkan proses pendaftaran dan rujukan.
-RI





