Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bekalan Minyak Masak Paket Bersubsidi Kembali Stabil di Pasaran

By 26 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Salehuddin Klewan/ Syafiq Saleh (Hulu Langat)

KAJANG, 26 Dis (MalaysiaAktif) – Bekalan minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi yang sebelum ini sering kehabisan kini kembali stabil dan mudah diperolehi di beberapa pasar raya sekitar bandar Kajang.

Bekalan minyak masak paket 1kg diletakkan di bahagian hadapan premis, mudah dilihat dan dicapai pelanggan

Tinjauan Malaysia Aktif di beberapa pasar raya mendapati bekalan minyak masak paket berada dalam keadaan mencukupi, khususnya di pasar raya besar yang menjadi tumpuan pengguna.

Bagi suri rumah, Yuliana Misman, 46, situasi itu memberi kelegaan selepas sekian lama berdepan kesukaran mendapatkan bekalan keperluan dapur berkenaan.

“Dulu memang selalu kehabisan, kalau pagi ada, petang mesti habis. Kalau lambat sikit, memang tak dapat beli. Sekarang senang, tak perlu lagi berebut,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, di sini semalam.

Yuliana lega kerana bekalan minyak masak paket kini mudah didapati di pasaran

Tinjauan juga mendapati bekalan minyak masak paket itu diletakkan di bahagian hadapan premis dan mudah diakses pelanggan, dengan hampir 10 kotak disediakan untuk jualan.

Sementara itu, pekerja swasta, Norisman Mohd Nor, 42, menyifatkan penggunaan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) sebagai langkah tepat memudahkan urusan pembelian minyak masak bersubsidi.

“Ini kali pertama saya guna aplikasi eCOSS dan ternyata mudah. Dulu isteri saya selalu merungut susah dapat minyak masak paket, sekarang masalah itu sudah selesai,” ujarnya.

Tinjauan juga bagaimanapun mendapati masih terdapat beberapa buah kedai runcit belum melaksanakan sepenuhnya penggunaan aplikasi tersebut bagi pembelian minyak masak paket.

-AA-

Tinggalkan komen anda