
Laporan/foto: Muhammad Zarul Afify/Facebook Rais Yasin
SUNGAI RAMBAI, 21 Dis (MalaysiaAktif) – Mini Karnival Usahawan Desa @ Festival D’Bendang Negeri Melaka 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu menjadi pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi desa apabila menerima sokongan Kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi pembangunan program komuniti dan agenda luar bandar.

Ucapan perasmian oleh Rais Yasin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Datuk Wira Yasin, penganjuran karnival edisi ketiga ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat luar bandar melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan pembangunan ekonomi, penglibatan komuniti serta pengukuhan perpaduan rakyat.
“Inisiatif ini bukan sekadar acara sementara, malah berperanan sebagai pemangkin ekonomi desa yang mengangkat martabat usahawan tempatan serta mempromosikan potensi Sungai Rambai yang kaya dengan landskap bendang dan hasil pertanian selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membangunkan komuniti luar bandar yang berdaya saing, inklusif dan mampan,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup karnival berkenaan, di sini semalam.

Penyampaian Anugerah Pencipta Logo D’Bendang.
Katanya lagi, karnival kali ini tampil lebih meriah dengan penyertaan lebih 100 peniaga dan usahawan tempatan serta 42 acara sukan rakyat selain pelbagai aktiviti sampingan termasuk jualan produk tempatan, makanan tradisional, persembahan pentas, program pemerkasaan wanita, ceramah agama dan penyampaian sumbangan bantuan persekolahan, di samping pengenalan sukan moden seperti kayak dan Muay Thai bagi menarik minat golongan belia.
-RI





