Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

KBS Salur RM100,000 untuk Sekolah Angkat MADANI KAFA Integrasi Mabaul ULUM

By 1 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JBSN

SERDANG, 1 Dis (MalaysiaAktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukan RM100,000 khusus untuk kerja naik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur di KAFA Integrasi Manbaul ULUM, di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Azura Abidin berkata peruntukan itu dipacu keprihatinan KBS terhadap tragedi yang meragut nyawa seorang murid tahun enam pada tahun lepas dipercayai akibat renjatan tiang elektrik di sekolah berkenaan.

“Peruntukan ini bagi memastikan keselamatan warga KAFA Integrasi Manbaul ULUM sentiasa terjamin dan tragedi serupa tidak berulang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan KBS, semalam.

Beliau berkata skop kerja merangkumi pembaikan keseluruhan pendawaian elektrik, penggantian bumbung yang rosak, penyelenggaraan kemudahan asas serta pemberian aset pendidikan dan pelaksanaan program bimbingan kepada guru dan pelajar.

Terdahulu, Azura telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di sekolah berkenaan yang berteraskan pendekatan whole-of-government bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan.

Azura berkata selain menaik taraf infrastruktur, program berkenaan turut memberi manfaat jangka panjang melalui penyediaan persekitaran pembelajaran lebih selamat dan kondusif untuk generasi akan datang.

“Inisiatif ini merupakan manifestasi usaha kerajaan untuk memastikan aspek keselamatan dan pendidikan diberi keutamaan melalui kerjasama rentas agensi yang lebih tersusun dan inklusif serta menyokong sekolah-sekolah yang memerlukan perhatian tambahan,” katanya.

Program tersebut hasil kerjasama pelbagai pihak antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) KBS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

-FN

Tinggalkan komen anda