
Laporan/ foto: Nur Arinnica Arif (Kluang)
KLUANG, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Sebanyak 10 jenis bantuan zakat disampaikan kepada para penerima Program Jelajah Barakah Zakat Daerah Kluang yang berlangsung di Dewan Muafakat Kampung Dato’ Abdul Rahman Yassin, di sini hari ini.

Burhanuddin Tibek ketika menyampaikan ucapan
Program anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu merupakan lokasi terakhir bagi siri jelajah berkenaan.
Ahli Majlis MAINJ Burhanuddin Tibek dalam ucapannya menekankan kepentingan memberi bagi meraih ganjaran akhirat.
“Milik kita adalah apa yang kita keluarkan untuk orang lain. Itulah yang akan kita dapat di akhirat nanti,” katanya sambil menyeru masyarakat memperluas amalan berwaqaf dengan nilai serendah RM10.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah kutipan zakat di Kluang bagi tahun ini sehingga September lepas mencecah RM6.6 juta dan berharap jumlah itu terus meningkat.

Dif jemputan bergambar bersama sebelum majlis berakhir
Program turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM44,000 kepada MAINJ sebagai komitmen berterusan pihak industri dalam menyokong agenda kebajikan negeri.
Salah seorang penerima bantuan, Rohani Ismail, 71, melahirkan rasa syukur atas bantuan bakul makanan yang diterimanya.
“Bakul makanan yang diberi sangat membantu. Belanja dapur bulanan pun cukup-cukup makan sahaja, jadi bantuan ini amat besar nilainya bagi kami,” katanya.
Turut hadir Ahli Majlis MAINJ Datuk Dr. Aman Rabu, Amin Baitulmal MAINJ Norhisham Md Sawal, Penghulu Mukim Kluang Suhaizi Mohd Yassin mewakili Pegawai Daerah Kluang dan Kadi Daerah Kluang Amir Mohd Noor.
-AA-





