
Laporan/Foto: Siti Fairuz Ngatenan (Sarawak)
KUCHING, 22 Dis (MalaysiaAktif) – Program Fun Walkathon 2025 sejauh tiga kilometer (km) anjuran Komuniti Kejiranan Mesra (KJM) Jalan Menggeris, di sini semalam berjaya menghimpunkan penduduk setempat daripada pelbagai lapisan umur dalam usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Program yang berlangsung di perkarangan Masjid Al-Quddus, Taman Sri Wangi itu dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Masjid Al-Quddus (MAQ), Koperasi Masjid Al-Quddus (KOMAQ) serta penduduk setempat.

Penglibatan peserta daripada pelbagai peringkat umur memeriahkan Program Fun Walkathon 2025.
Program bermula seawal jam 7.30 pagi dengan aktiviti senamrobik sebelum diteruskan dengan acara berjalan santai mengelilingi kawasan kejiranan Jalan Menggeris. Suasana kemudiannya bertambah meriah dengan sesi cabutan bertuah sebagai penghargaan kepada peserta yang hadir.
Pengerusi KJM Jalan Menggeris, Prof Dr. Awang Ahmad Sallehin Awang Husaini meluahkan rasa syukur atas sambutan menggalakkan yang diterima daripada penduduk setempat meskipun program berlangsung dalam keadaan hujan lebat.
Menurut beliau, kehadiran penduduk daripada pelbagai peringkat umur serta penyertaan rakan-rakan Komuniti Kejiranan Mesra dari kawasan Tupong jelas mencerminkan semangat kebersamaan dan sokongan padu terhadap penganjuran aktiviti kemasyarakatan.

Pengerusi KRT Encik Imanuddin menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang bertuah sambil disaksikan oleh Prof. Dr. Awang dan Ketua Kaum, Encik Hamit.
“Program seperti ini bukan sahaja mampu menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah berperanan sebagai platform penting untuk mengukuhkan perpaduan serta hubungan silaturahim dalam komuniti,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran aktiviti berbentuk santai dan inklusif seperti Fun Walkathon dilihat berupaya menarik penyertaan menyeluruh penduduk setempat sekali gus memperkukuh keharmonian kejiranan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Kaum Taman Sri Wangi, Hamit Aini dan Pengerusi KRT Taman Sri Wangi, Imanuddin Ahmad Tajuddin.
-RJ-






