
Laporan/Foto: Iswandy Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 23 Dis (MalaysiaAktif) – Kejayaan penganjuran STRIKE ZONE: Battle of the Slingers 2025 membuktikan keupayaan pertubuhan belia tempatan dalam merancang dan melaksanakan program berkualiti yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan muda di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata program anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Lingga dengan kerjasama Club Simanggang Slingers itu bukan sekadar medan pertandingan, malah berperanan dalam pembangunan belia secara menyeluruh dari aspek fizikal, mental dan sosial.

Dayang Noorazah menyampaikan hadiah kepada para pemenang STRIKE ZONE: Battle of the Slingers 2025 sebagai simbol penghargaan atas semangat kesukanan dan pencapaian cemerlang mereka.
“Selain itu, penglibatan belia bersama institusi keluarga serta masyarakat setempat dalam suasana yang inklusif dan harmoni turut menyumbang kepada pengukuhan perpaduan dan keharmonian komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di Dewan Sri Lemanak, Sabtu lalu.
Beliau yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Lingga berkata penganjuran program seumpama itu juga selari dengan usaha membentuk generasi belia yang bukan sahaja aktif dalam bidang sukan, malah memiliki disiplin, jati diri serta semangat kesukanan yang tinggi.
Sementara itu, pihak penganjur memaklumkan bahawa pertandingan yang diadakan buat julung kalinya itu bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia, di samping mengasah kemahiran teknikal serta meningkatkan tahap keyakinan diri dan kekuatan mental peserta.

Antara aksi menarik peserta yang berentap dalam Pertandingan STRIKE ZONE: Battle of the Slingers 2025, memperlihatkan kemahiran, fokus dan semangat persaingan sihat sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurut mereka, penganjuran program seumpama itu juga membuka ruang kepada belia untuk menonjolkan potensi diri, membina jaringan sosial yang positif serta menyemai semangat kerjasama dan persaingan sihat.
Program tersebut menerima sambutan memberangsangkan dengan penyertaan pasukan dari beberapa kawasan termasuk Sri Aman, Zon Kuching, Samarahan, Saratok dan Betong, sekali gus memperlihatkan potensi sukan ini untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
Penganjur turut berharap agar STRIKE ZONE dapat dijadikan program tahunan bagi memberi lebih banyak peluang kepada belia terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan serta pembangunan komuniti.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi STRIKE ZONE Slingers, Kr. Suhaidi @ Roslan bin Los, Penghulu Zamahari Morshidi serta Ketua Kaum Jamali Hamden.
-RJ-





