Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kunang-Kunang Krismas Serlah Kesepaduan di Klinik Long Lama

By 7 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Regina Lasia (Sarawak)

LONG LAMA, 07 Dis (MalaysiaAktif) – Buat julung kalinya, suasana di Klinik Kesihatan Long Lama berubah menjadi seperti dipenuhi ‘kunang-kunang Krismas’  apabila warga kerjanya berganding bahu menghiasi ruang perkhidmatan demi menceriakan pelanggan dan menyemarakkan semangat perayaan.

Pertandingan Hiasan Krismas yang dianjurkan pada Jumaat pertama kali ini disertai tiga unit utama iaitu Klinik Ibu dan Anak (KIA), Jabatan Pesakit Luar dan Unit Farmasi dengan masing-masing menampilkan kreativiti tersendiri dalam mewujudkan dekorasi bertema Hari Natal yang meriah dan mesra komuniti. Usaha ini bukan sahaja menambah keceriaan suasana malah menjadi ruang untuk kakitangan berkongsi bakat dan imaginasi.

Setiap dekorasi dinilai berdasarkan kreativiti dan inovasi, kebersihan, kekemasan, kemeriahan, keceriaan suasana serta penggunaan bahan kitar semula menjadikan pertandingan ini lebih bermakna dan inklusif.

Inisiatif berkenaan juga membawa nilai kekitaan selari dengan Dasar Perpaduan Negara apabila hubungan sesama rakan setugas diperkukuh melalui semangat kerjasama serta keinginan bersama untuk menghadiahkan pengalaman lebih ceria kepada para pelanggan yang hadir mendapatkan rawatan.

Penolong Pegawai Perubatan, Encik Simon Lohat berkata usaha ini merupakan pengikat ukhwah dalam menerima kepelbagaian sama ada di kalangan kakitangan mahupun pengunjung Klinik Kesihatan Long Lama.

“Pertandingan ini bukan sahaja bertujuan menghias ruang kerja tetapi juga memberikan peluang kepada kakitangan untuk menonjolkan kreativiti masing-masing serta mempererat hubungan antara unit,” katanya.

Beliau menambah bahawa penganjuran seumpama ini mampu menyuntik aura positif di tempat kerja.

“Pertandingan ini adalah platform untuk menyemarakkan semangat perayaan sambil mewujudkan suasana kerja yang positif dan ceria. Ia juga membolehkan kakitangan menunjukkan bakat kreatif mereka serta memupuk semangat berpasukan,” jelasnya.

Klinik Kesihatan Long Lama berharap penganjuran Pertandingan Hiasan Krismas dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang sebagai usaha berterusan memupuk kreativiti, keharmonian serta semangat kesepaduan dalam kalangan warga kerja sekali gus mengekalkan sinar ‘kunang-kunang Krismas’ yang menyatukan komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda