
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 11 Dis (MalaysiaAktif) – Membina masyarakat yang sihat memerlukan usaha berterusan dan kerjasama kukuh daripada pelbagai pihak.

Antara rakan-rakan strategik Jabatan Kesihatan Labuan yang hadir.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Francis Paul tanggungjawab membina masyarakat yang sihat adalah peranan yang harus dipikul bersama.
“Dalam dunia kesihatan awam, kita sentiasa akui bahawa kesihatan bukan hanya tanggungjawab Jabatan Kesihatan semata-mata tetapi merupakan usaha bersama dan peranan semua menjadi rakan strategik dalam menjayakan pendekatan ‘Whole of Government, Whole of Society’ di Labuan.
“Setiap pihak memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku sihat, mewujudkan persekitaran yang kondusif dan membina komuniti yang lebih sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik dan Media Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025, di sini semalam.

Antara wakil-wakil agensi kerajaan yang hadir sama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik seperti agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan komuniti, ketua-ketua kampung, institusi pendidikan dan rakan media yang sentiasa menyokong Jabatan Kesihatan Labuan.
“Sokongan semua pihak pada tahun ini amat besar ertinya dan menjadi tulang belakang kejayaan pelaksanaan program serta perkhidmatan kesihatan tidak kira dari segi perkhidmatan perubatan, kempen kesihatan, saringan penyakit tidak berjangkit (NCD), penguatkuasaan, aktiviti kecergasan, outreach (program khidmat masyarakat) komuniti dan pelbagai inisiatif lain yang dijalankan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
-RI





