
Laporan/foto: Senaying Ahud/Aidil Fikri Mat Darus (Hulu Perak)
LENGGONG, 7 Dis (MalaysiaAktif) – Seramai 30 pemohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerima Surat Tawaran dan Kunci RMR di Dewan Merdeka Lenggong, di sini kelmarin.

Penerima kunci rumah Amir Fitri Abd Salim, kelihatan gembira dan turut melahirkan rasa kesyukuran.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif itu adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda perumahan rakyat di negeri itu.
Beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan subsidi RM20,000 bagi setiap unit RMR bagi meringankan beban kewangan pemilik rumah.
“Subsidi ini disediakan bagi memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dapat memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti selaras aspirasi Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci RMR yang turut menyaksikan 20 penerima lagi berpeluang menerima kunci rumah baharu mereka di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Prof. Dr. Mohd Azmi Mohd Lila berkata lebih 7,000 unit RMR telah berjaya dibina di Perak sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 2002.

Pengerusi SPNB ketika menyampaikan ucapan.
Katanya, SPNB kini menyasarkan pembinaan sekitar 600 unit setahun bagi memenuhi keperluan semasa rakyat di negeri berkenaan.
“Program RMR terus menerima sambutan positif kerana ia memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pada kos yang lebih berpatutan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching.
-RI





