Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Misi Bantuan Kemanusiaan #Utarabantuutara Ringankan Beban Mangsa Banjir Perlis

By 1 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 1 Dis (MalaysiaAktif) – Lebih RM80,000 barangan keperluan serta makanan sumbangan warga Seberang Perai Tengah telah disalurkan untuk mangsa banjir di negeri Perlis melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Skuad Insan MADANI.

Misi bantuan banjir ini mendapati kerjasama penuh daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perlis agar kaedah penagihan lebih tersusun.

Menurut salah seorang penyelaras Shazwan Saffie, inisiatif berkenaan merupakan anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seberang Perai Tengah, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Tengah serta Pasukan Tindak Balas Awam (CDA-ERT) Parlimen Bukit Mertajam.

“Hampir 10,000 botol air minuman telah dimuatkan di dalam kontena berserta makanan ringan yang lain dan juga barangan keperluan asas untuk orang dewasa dan kanak-kanak,” katanya, di sini semalam.

Bertemakan #Utarabantuutara, misi tersebut disertai lebih 20 peserta dan mendapat sokongan daripada beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Pulau Pinang serta lebih 15 unit pacuan empat roda.

Para sukarelawan di bantu oleh pelajar IKM Beseri menyusun barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri Perlis.

“Sebelum ini misi bantuan banjir terarah ke Pantai Timur tetapi pada kali ini, misi bantuan lebih tertumpu ke negeri Perlis kerana pihak kami berpendapat untuk membantu jiran di utara dahulu memandangkan negeri Perlis dilanda banjir yang agak teruk pada kali ini,” katanya.

Menurutnya, misi tersebut mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan negeri Perlis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis dan APM Perlis.

“Pihak Institut Kemahiran MARA Beseri bersama para pelajar juga turut membantu dalam menyediakan logistik bagi proses pengagihan barangan untuk diedarkan kepada mangsa banjir di negeri Perlis ini,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda