
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Penampang)
PENAMPANG, 11 Dis (MalaysiaAktif) – Faktor manusia dan persekitaran kerja merupakan antara lima faktor utama kemalangan di tempat kerja yang dikenal pasti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Pengurus Kanan NIOSH Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Muhammad Fadhil Abu Bakar berkata antara lain ialah prosedur operasi standard (SOP) yang tidak kemas, keselamatan peralatan dan jentera.

Muhammad Fadhil dalam program FYI@JAPEN di Studio Media, Jabatan Penerangan Sabah, Penampang.
Justeru, beliau berkata pihaknya komited untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di seluruh negara terjamin termasuk di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Institusi ini ditubuhkan untuk membantu majikan dan pekerja meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja melalui latihan, modul, dan khidmat rundingan,” katanya pada sesi rakaman program FYI@JAPEN, di sini kelmarin.
Beliau berkata semua sektor termasuk di lokasi kerja berisiko tinggi termasuk perladangan, pembinaan, perkilangan, perkhidmatan sehingga ke sektor awam memerlukan khidmat NIOSH yang juga berperanan menyebarkan maklumat bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di semua sektor industri.
Jelasnya lagi, pekerja juga mempunyai hak tertentu yang perlu diberi penekanan dengan setiap isu keselamatan yang dilaporkan tidak boleh dikenakan tindakan oleh majikan.
“Antara hak dari sudut pekerja ialah mereka ini perlu mendapat persekitaran kerja yang selamat, penyediaan latihan, peralatan perlindungan diri percuma dan hak untuk melaporkan isu keselamatan tanpa dikenakan tindakan oleh majikan,” katanya.
Muhammad Fadhil berkata dari sudut pembangunan modal insan, NIOSH berperanan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah berkait isu keselamatan terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“NIOSH akan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah, kolej, dan pekerja baharu melalui program OSH for Youth, kursus induksi, dan modul keselamatan TVET bagi membina budaya keselamatan sejak awal.
“Fokus strategik NIOSH untuk masa depan termasuk transformasi latihan untuk perusahaan kecil dan sederhana, perhatian kepada aspek psikososial di tempat kerja, pendigitalan, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), memperkasakan ergonomik serta memberi khidmat rundingan kepada industri berisiko tinggi,” katanya.
-RJ-





