
Laporan/ foto: Salehuddin Klewan/ Syafiq Saleh (Hulu Langat)
BANDAR BARU BANGI, 19 Dis (MalaysiaAktif) – Seiring dengan peningkatan ancaman siber yang semakin membimbangkan khususnya terhadap kanak-kanak dan golongan muda, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 atau Online Safety Act (ONSA 2025) akan dikuatkuasakan sebagai langkah penting kerajaan Malaysia bagi menangani ancaman dan risiko keselamatan dalam talian.

Generasi muda merupakan kelompok paling terdedah kepada penggunaan aplikasi digital pada masa kini
Profesor Madya Dr. Kamarudin Salleh, 53, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (Usuluddin dan Falsafah), berkata matlamat utama ONSA 2025 adalah untuk melindungi pengguna, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak dan remaja daripada kemudaratan dalam talian.
“Perkara paling asas dalam menilai sesuatu tindakan adalah maslahah dan juga maqasid Syariah, dalam hal ini kerajaan ingin melaksanakan untuk kepentingan rakyat bagi menghalang kemudaratan dan ianya adalah asas yang kukuh dalam melaksanakannya,” katanya ketika ditemui semalam.

Dezrinor berpendapat penguatkuasaan ONSA 2025 adalah tepat pada masanya bagi memastikan ruang siber yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab untuk semua lapisan masyarakat
Sementara itu, Dezrinor Adnan, 51, Eksekutif Jualan Volkswagen (M) Berhad, berpandangan bahawa pelaksanaan ONSA 2025 sangat penting memandangkan kini semakin berleluasa isi kandungan yang tidak sesuai dengan nilai agama dan masyarakat Malaysia di platform popular seperti elemen perjudian dan kelucahan melampau.
“Pendapat saya perkembangan pesat media sosial, platform penstriman dan perkhidmatan dalam talian telah membuka ruang kepada penyebaran kandungan berbahaya seperti penipuan, eksploitasi kanak-kanak, ucapan kebencian, buli siber dan maklumat palsu,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.
Justeru, penguatkuasaan ONSA 2025 adalah tepat pada masanya bagi memastikan ruang siber yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab untuk semua lapisan masyarakat.
-AA-





