
Laporan/foto: Azfa Saffie/Zalizan Yaacob
KUALA SELANGOR, 1 Dis (MalaysiaAktif) – Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) Kuala Selangor dianugerahkan sebagai PAKK Cemerlang Peringkat Negeri Selangor.
Pengerusinya Zubairi Hussin berkata pengiktirafan itu bukti komitmen, integriti dan dedikasi seluruh warganya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada anak-anak yang memerlukan sokongan dan bimbingan.

Bersama anak-anak yang menyertai PAKK Kuala Selangor.
“PAKK akan terus menjadi ruang yang selamat dan berkesan dalam membimbing kanak-kanak, memperkasakan keluarga serta mengukuhkan kerjasama komuniti demi melahirkan generasi yang sejahtera dan berdaya saing. Kami melaksanakan pelbagai aktiviti, program dan perkhidmatan yang merangkumi pencegahan, perlindungan, serta perkembangan kanak-kanak.
“Kami juga menyediakan bimbingan sahsiah dan akademik, sokongan psikososial, pemupukan nilai murni, pengukuhan hubungan keluarga serta aktiviti berfaedah bagi perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Buat masa ini keahlian adalah seramai 100 orang kanak-kanak. Pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh pasukan untuk bekerja dengan lebih berdaya usaha,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri Selangor 2025, di sini kelmarin.
PAKK terbuka kepada kanak-kanak bawah 18 tahun, khususnya keluarga berpendapatan rendah atau berisiko, untuk memberi manfaat kepada ibu bapa dan komuniti melalui program keibubapaan, sokongan keluarga dan aktiviti kemasyarakatan.
Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan PAKK dibawah seliaan Pasukan Perlindung Kanak-Kanak Kuala Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh menghubungi talian 013-2287070 atau 011-31752257.
-RI





