
Laporan/foto: Yusoffirman/FirdaufAlias (Temerloh)
TEMERLOH, 3 Dis (MalaysiaAktif) – Permata Warisan Seni Kampung Paya Sok (PEWARIS) giat memperjuangkan warisan budaya agar tidak lapuk ditelan zaman.
Menurut guru pengajar PEWARIS Mohd Rahmad Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Aqie Uda, generasi masa kini kurang berminat untuk mempelajari kesenian dan kebudayaan warisan Melayu.

Antara ahli yang menghidupkan PEWARIS.
“Kita akan meneruskan warisan kebudayaan zaman-berzaman ini dan cuba menarik golongan muda untuk menyertainya,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Ujarnya lagi, seni dan kebudayaan ini mampu membentuk jati diri seseorang dan ia juga boleh dikembangkan kepada pelbagai cabang seni lagi.
“Prinsip ini menjadi perjuangan PEWARIS dalam memastikan keaslian kesenian dan kebudayaan setempat dikekalkan tanpa tokok tambah elemen luar.

Tarian Piring antara seni budaya yang terus diperjuangkan oleh PEWARIS.
“Kewujudan PEWARIS juga menjadi inisiatif sebagai penjaga keaslian permainan dan seni budaya tempatan dapat dikekalkan sepanjang zaman,” katanya.
Kumpulan ini berkebolehan dalam dikir maulid, dikir rebana, marhaban serta pelbagai jenis seni budaya tempatan seperti permainan gendang Pahang, tarian piring, tarian lilin, tarian ganchong (calok), joget marhum dan permainan porak.
“Perkembangan kebudayaan dan kesenian tempatan khususnya di negeri Pahang mampu pergi jauh dan mempunyai masa depan yang cerah jika ianya dikomersialkan,” katanya.
-RI





