
Laporan/Foto: Siti Rahimah Ajis (Sarawak)
JULAU, 5 Dis (MalaysiaAktif) – Program Jaulah Penyerahan Al-Quran Terjemahan Bahasa Etnik , di Masjid Nurul Hidayah, di sini semalam dilihat bertepatan dalam memperluas kefahaman masyarakat terhadap al-Quran.
Program anjuran Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Sarikei itu juga berupaya mengukuhkan usaha dakwah di peringkat komuniti menerusi penyediaan terjemahan dalam bahasa etnik.
Pengisian utama program melibatkan penyerahan Al-Quran terjemahan Bahasa Iban dan Bahasa Melayu kepada peserta bagi membantu masyarakat memahami kandungan Al-Quran dengan lebih mudah melalui bahasa pertuturan harian mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAIS Ngatijam Misau menyampaikan ceramah bertajuk “Ikhlas dan Syukur: Dari Perspektif Seorang Mualaf.”
Peserta turut mengikuti ceramah bertajuk “Ikhlas dan Syukur: Dari Perspektif Seorang Mualaf” oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAIS Ngatijam Misau.
Menerusi ceramahnya, beliau berkata ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata kerana Allah SWT, manakala syukur bermaksud mengiktiraf nikmat sebagai kurniaan-Nya dan menzahirkan rasa terima kasih melalui hati, lisan dan perbuatan.
Beliau turut berkongsi langkah praktikal membentuk jiwa ikhlas dan bersyukur antaranya memulakan hari dengan niat betul, menjaga solat lima waktu, menyenaraikan nikmat harian, meluangkan masa membaca al-Quran serta memilih sahabat yang membawa kepada kebaikan.
“Kalau rasa susah, pasti Allah akan tambah dan banyakkan bersyukur,” katanya ketika menekankan kepentingan menghargai nikmat yang dikurniakan.

Penyerahan Al-Quran terjemahan dalam Bahasa Iban dan Bahasa Melayu kepada Setiausaha Masjid Nurul Hidayah.
Program berkenaan mencapai objektifnya melalui perkongsian ilmu, pengisian rohani serta penyediaan bahan rujukan yang lebih mudah difahami sekali gus menyemarakkan lagi penghayatan masyarakat terhadap al-Quran dan ajaran Islam.
-RJ-





