
Laporan/ foto: Memi Yusoff/ Hazel (Selangor)
SHAH ALAM, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Usaha memperkasa institusi Islam di Selangor terus dipertingkat apabila sebanyak 20 masjid dan surau menerima sumbangan berjumlah RM2.47 juta, khusus bagi melaksanakan kerja pembangunan, pembaikan dan penyelenggaraan demi keselesaan jemaah.

Amirudin menyerahkan sumbangan dana kepada wakil masjid
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan yang melibatkan 11 masjid dan sembilan surau itu disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Dana Pembinaan dan Penyelenggaraan Masjid dan Institusi Islam Selangor.
“Peruntukan besar ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri bagi memastikan keselesaan jemaah serta kelestarian fungsi masjid dan surau.
“Dana ini digunakan untuk keperluan mendesak seperti pembaikan struktur bangunan dan penaiktarafan kemudahan sedia ada termasuk sistem siar raya, pendingin hawa dan tempat wuduk,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan tersebut di sini, hari ini.
Amirudin berkata peruntukan itu turut merangkumi kerja penyelenggaraan rutin yang penting bagi menjamin persekitaran bersih dan selamat.

Amirudin bersama penerima sumbangan dana yang terdiri daripada 11 masjid dan 9 surau
Beliau berkata langkah itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk memartabatkan institusi Islam, termasuk membantu menyiapkan pembinaan masjid yang tertangguh.
“Dua pembinaan masjid turut berjaya diselesaikan iaitu Masjid Alam Sari yang dibiayai majoritinya oleh penduduk setempat serta Masjid Limau Manis.
“Selebihnya melibatkan masjid dan surau yang memerlukan penambahbaikan tertentu seperti sistem pendingin hawa dan lain-lain keperluan,” katanya.
-AA-





