Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

SISWANIS 2025/2026: Selangor Perkukuh Kepimpinan Wanita

By 9 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Ariff Ishak (Selangor)

SHAH ALAM, 9 Dis (MalaysiaAktif) – Usaha memperkasa peranan wanita dalam arena dasar dan politik terus dipertingkat apabila kerajaan negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) melancarkan Sidang Wanita Selangor (SISWANIS) 2025/2026, sebuah platform strategik yang menjadi tapak melahirkan pemimpin wanita berkualiti tinggi.

Anfaal Saari menyampaikan ucapan perasmian Sidang Wanita Selangor (SISWANIS) 2025/2026

Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga serta Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata SISWANIS kali ini yang memasuki kohort keempat turut menerima suntikan dana daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di bawah Program Perintis 2025 sekali gus memperkukuh usaha melahirkan pelapis wanita berkemahiran serta bersedia menyumbang kepada pembangunan dasar negara.

“Seramai 56 peserta dipilih, terdiri daripada alumni SISWANIS dan aktivis politik wanita, bagi mengikuti latihan intensif yang dirangka sebagai proses pengukuhan kepimpinan.

“Fokus utama kohort 2025/2026 merangkumi pembinaan dasar yang peka gender, pengukuhan kefahaman terhadap proses pembuatan dasar, penegasan peranan Ahli Dewan Negeri sebagai penggubal dasar serta pembangunan kepimpinan menerusi modul latihan berstruktur,” katanya.

Anfaal berkata demikian selepas melancarkan Sidang Wanita Selangor (SISWANIS) 2025/2026 di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Anfaal turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus mengangkat suara wanita ke peringkat pembuat keputusan.

SISWANIS 2025/2026 dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan penglibatan wanita dalam pembuatan dasar dan undang-undang, selaras dengan persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Inisiatif ini turut menyumbang kepada usaha membentuk Selangor yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing menjelang 2030, selaras dengan Matlamat 4 Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026, iaitu mempercepatkan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita.

-AA-

Tinggalkan komen anda