
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Projek Loji Jana Kuasa 120 Megawatt Rancha Power di Wilayah Persekutuan Labuan bakal meningkatkan sistem bekalan elektrik di pulau itu.

Para tetamu kenamaan menyaksikan Fadillah (paling kiri) yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menurunkan tanda tangan
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof projek tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan keselamatan tenaga, kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik dan kemampanan jangka panjang khususnya bagi wilayah strategik seperti Labuan.
“Pembangunan loji jana kuasa baharu ini adalah berasaskan analisis teknikal dan perancangan sistem yang menyeluruh, mengambil kira penuaan aset janakuasa sedia ada yang telah beroperasi sejak awal 1980-an serta unjuran peningkatan permintaan tenaga bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, aktiviti industri dan keperluan komuniti setempat.

Fadillah (dua dari kiri) menyempurnakan majlis pecah tanah projek yang bakal meningkatkan sistem bekalan elektrik di pulau itu
“Saya yakin bahawa dengan sokongan padu kerajaan Persekutuan, pihak perkuasa Labuan serta kerjasama erat semua pihak berkepentingan, projek loji jana kuasa ini akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan sistem tenaga di Labuan dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi wilayah ini secara mampan dan berdaya saing,” katanya semasa majlis pecah tanah projek itu di sini, semalam.
Jelasnya, Rancha Power Sdn. Bhd. menerajui projek jana kuasa tersebut dengan usaha sama strategik antara PG Energia Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Gas Bhd., SEC Power Sdn. Bhd., anak syarikat Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. dan Sustainable Power Sdn Bhd, anak syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Projek ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang pragmatik dan bertanggungjawab dalam penggubalan perancangan jangka panjang sektor tenaga dengan penekanan kepada kebolehpercayaan sistem, kecekapan operasi dan daya tahan infrastruktur.
“Ia selari dengan usaha kerajaan memastikan sistem tenaga negara kekal stabil walaupun berdepan perubahan struktur permintaan dan cabaran peralihan tenaga,” katanya.
Projek Loji Janakuasa Rancha Power dijangka bermula pada awal tahun ini dan siap sepenuhnya menjelang 2028.
-AA-





