Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerak

MHB, MDK Jalin Kerjasama Strategik Bangunkan Gua Tempurung Selama 21 Tahun

By 28 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Saad/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Majuperak Holdings Berhad (MHB) hari ini memeterai Perjanjian Konsesi selama 21 tahun bersama Majlis Daerah Kampar (MDK) bagi meneraju pembangunan dan pengoperasian Tapak Ekopelancongan Gua Tempurung.

Perjanjian yang merangkumi kawasan seluas 79.54 ekar itu bakal dilaksanakan secara berfasa dengan memberikan tumpuan utama terhadap penambahbaikan kemudahan awam, infrastruktur, serta pengurusan destinasi yang lebih sistematik, selamat dan mampan.

Muhammad Yazurin Sallij ketika ditemu ramah wakil media.

Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata pembangunan pelancongan di negeri ini dilaksanakan secara bersepadu dengan memberikan penekanan khusus kepada aspek kelestarian dan penglibatan aktif komuniti tempatan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang bermatlamat membuka peluang luas kepada usahawan tempatan, termasuk sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menyertai rantaian nilai pelancongan negeri.

Pengerusi MHB Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata pembangunan ekosistem Gua Tempurung akan dilaksanakan secara kompetitif bagi memelihara keunikan laluan ekspedisi gua sepanjang 1.9 kilometer yang merentasi gunung melalui sungai bawah tanah.

“Kerajaan negeri Perak melihat pembangunan ini sebagai langkah strategik bagi mengangkat Gua Tempurung sebagai hab ekopengembaraan bertaraf antarabangsa, selaras dengan kedudukan Perak sebagai destinasi utama pelancongan domestik dan global,” jelasnya yang juga merupakan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Tambahnya lagi, langkah tersebut akan disusuli dengan pembangunan fasiliti baharu seperti penginapan glamping dan hab aktiviti lasak, selain menaik taraf aspek keselamatan dengan sasaran kehadiran pelancong mencecah 10,000 hingga 20,000 orang sebulan.

Ahmad Suqairy Alias ketika ditemu ramah wakil media.

Sebagai rekod, negeri Perak telah mencatatkan kehadiran seramai 8.4 juta pelancong dengan nilai perbelanjaan asing mencecah RM184.8 juta bagi tahun 2024 yang lalu.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MDK Ahmad Suqairy Alias mengalu-alukan kerjasama strategik tersebut kerana ia menyediakan rangka tadbir urus yang lebih jelas bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan awam sentiasa terpelihara.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan itu turut disaksikan oleh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak serta pengurusan tertinggi Kumpulan MHB.

-RI

Tinggalkan komen anda