Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Paulus Saksikan Penyerahan Projek Hopecare Basic of Life Limbang Rural Water Project

By 18 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Juliani Bolhi (Limbang)

LIMBANG, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Dato’ Paulus Palu Gumbang hadir menyaksikan Majlis Penyerahan Rasmi Projek Hopecare Basic of Life Limbang Rural Water Project yang berlangsung di Pit Stop Cafe Limbang, di sini semalam.

Dalam ucapannya, Paulus berkata projek bekalan air luar bandar itu merupakan inisiatif Rotary Club of Bintulu Central dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang yang memberi manfaat kepada penduduk Kampung Tubai Baru serta Klinik Kesihatan Nanga Merit Limbang.

Paulus merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Projek Hopecare Basic of Life Limbang Rural Water Project demi manfaat komuniti setempat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan projek ini untuk manfaat komuniti setempat. Inisiatif seperti ini amat bermakna khususnya kepada penduduk luar bandar di kawasan ini,” katanya.

Tambah Paulus, projek yang ditaja oleh The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-day Saints itu dilaksanakan secara gotong-royong bersama komuniti setempat sekali gus memberi manfaat berterusan kepada penduduk Kampung Tubai Baru dan Klinik Kesihatan Nanga Merit Limbang.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis penyerahan rasmi projek oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang yang diwakili Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr. Norliza Jusoh kepada Ketua Kampung Tubai Baru Yusop Siran serta wakil Klinik Kesihatan Nanga Merit Limbang Steward Ajai Engai.

Dr. Nurzilah (depan kiri) menyerahkan projek Hopecare Basic of Life Limbang Rural Water Project kepada Yusop Siran sambil disaksikan Paulus.

Majlis turut dihadiri Presiden Rotary Club of Bintulu Central Lennie Lee, wakil penaja Elder Roger Walker bersama isteri Sister Pam Walker serta pemimpin komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda