
Laporan/foto: Wenny Di Tian Soh/Muhamad Noor Abdu Rahman (Keningau)
KENINGAU, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Biah, di sini, menyambut baik usaha kerajaan meneruskan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai langkah membantu golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Menurut penduduk, bantuan berkenaan bukan sahaja memberi kelegaan kepada isi rumah yang terkesan malah membantu memastikan keperluan asas harian seperti makanan dan barangan dapur dapat dipenuhi dengan lebih teratur.
Salah seorang penduduk, Bruno Anom, 42, berkata bantuan tersebut amat diperlukan khususnya bagi Ketua Isi Rumah (KIR) yang mempunyai bilangan tanggungan isi keluarga yang ramai.

Bruno Anom berkongsi pandangan mengenai kepentingan SARA dalam membantu meringankan beban kos sara hidup Ketua Isi Rumah yang mempunyai tanggungan ramai.
“Bantuan seperti ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat terutama di peringkat akar umbi. Saya berharap bantuan sebegini dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang menanggung keperluan isi keluarga yang ramai,” katanya ketika ditemui sempena Program Jualan Rahmah, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Dalikah Ahindah, 55, berkata bantuan berkenaan amat bermakna buat keluarganya kerana dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan.

Dalikah Ahindah menyatakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) amat bermakna dalam mengurangkan perbelanjaan bulanan keluarganya.
“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini. Apabila perbelanjaan keperluan asas dapat dijimatkan saya boleh menyimpan untuk keperluan lain yang lebih mendesak,” katanya.
Untuk rekod, penyaluran bantuan SARA bagi tahun 2026 melibatkan seramai 8.1 juta penerima dengan peruntukan keseluruhan RM8 bilion, sekali gus meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025.
-RJ-





