
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi tujuan penambahbaikan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Jemaah Menteri secara dasarnya bersetuju bahawa wujud keperluan untuk menggubal suatu RUU yang membolehkan isu perumahan di kawasan bandar khususnya yang berkait isu kemiskinan diatasi secara tuntas dan adil.
“Maka pada hari ini Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar ini akan ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan yang akan diteliti, dibentangkan, dibincang dan diputuskan di Jemaah Menteri pada satu tempoh yang akan dimaklumkan,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian pada Sidang Media Mingguan Kerajaan MADANI, di sini hari ini.
Beliau berkata hasil penambahbaikan RUU berkenaan kemudiannya akan dibentangkan semula di Parlimen kelak.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihaknya bersedia membentangkan semula RUU berkenaan untuk kali kedua.
Pada 28 Ogos lepas, bacaan kali kedua RUU berkenaan telah dibentangkan namun tidak dibahaskan sebelum ditangguhkan ke persidangan berikutnya.
Keputusan penangguhan tersebut diambil susulan wujud beberapa kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan oleh segelintir Ahli Parlimen termasuk dari blok kerajaan.
-RI





