
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Muhammad Arief Hasbollah Amin (Terengganu)
MARANG, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Inisiatif bantuan kerajaan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) terus menjadi penyokong utama kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup.
Salah seorang penerima yang bekerja sebagai juruwang, Nor Shafira Zahari, 27, berkata bantuan SARA amat membantunya dalam menampung perbelanjaan barangan keperluan asas.
“Saya gunakan bantuan ini untuk membeli beras, minyak masak dan keperluan harian. Sekurang-kurangnya dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan dan lebihan wang boleh digunakan untuk tambang ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Pada tahun ini, bantuan SARA bulanan tanpa tunai dikreditkan ke dalam MyKad penerima bermula 9 Jan lalu, manakala SARA bagi individu bujang disalurkan pada 16 Jan lepas.
Manakala, STR Fasa 1 pula telah disalurkan secara tunai kepada penerima bermula kelmarin.

Muhammad Arif, berkata bantuan STR yang diterima amat bermakna dan dapat membantu kewangan keluarga.
Sementara itu, seorang pemandu lori Muhammad Arif Romele, 34, menyifatkan bantuan STR sebagai sangat bermakna, terutama ketika pendapatan bulanannya tidak menentu.
“Kadang-kadang pendapatan harian tidak menentu. Jadi, apabila menerima STR, saya boleh gunakan untuk membayar bil utiliti dan sebahagian ansuran motosikal. Bantuan ini memang tepat pada masanya,” katanya.
Rata-rata penerima yang ditemui menyifatkan inisiatif bantuan kerajaan ini sebagai langkah proaktif dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Menurut Nor Shafira SARA amat membantu dalam menampung perbelanjaan barangan keperluan asas.
“Rasa sangat bersyukur dan amat berterima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kewangan keluarga.
“Dengan adanya SARA dan STR, saya dapat membeli keperluan sekolah anak-anak serta barangan dapur tanpa perlu berhutang dan berharap bantuan ini diteruskan kerana ia amat membantu dalam menampung keperluan harian,” kata Zuraida Umar, 38.
Penerima-penerima bantuan tersebut berharap agar pelaksanaan SARA dan STR dapat diperluaskan kepada lebih ramai golongan yang benar-benar memerlukan, di samping proses permohonan dan penyaluran bantuan dipermudahkan pada masa hadapan.
-RI





