
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu perlu mengamalkan budaya kerja yang bersih, jujur, tulus dan ikhlas bagi menjaga imej perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Dato’ Nor Hisham Mohammad.

Pengarah JBPM Terengganu Nor Mahathir Mohamad menyampaikan sumbangan kepada ahli Bomba Sukarela Felda Belara
Dalam ucapannya yang dibacakan Pengarah JBPM Terengganu Nor Mahathir Mohamad, Nor Hisham berkata setiap anggota jabatan itu wajar menjiwai sekiranya seragam yang disarung dan pangkat dimiliki bukan sekadar simbol sebaliknya cerminan imej negara, integriti, profesionalisme dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Nilai-nilai integriti ini perlu dijadikan pegangan bersama agar kita dapat memperkukuh amalan tadbir urus, meningkatkan tahap ketelusan serta memulihkan dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam,” katanya pada Perbarisan Tahunan JBPM Peringkat Negeri Terengganu sempena 50 tahun JBPM, di sini kelmarin.
Bertemakan Memperkukuh Legasi, Memacu Transformasi dengan aspirasi Kita Bomba, perbarisan tahunan tersebut menjadi platform penting bagi memperkukuh semangat pasukan serta menghargai sumbangan semua pihak yang terlibat dalam memperkasakan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan di negeri ini.

Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) menerima sijil penghargaan dari Pengarah JBPM Terengganu
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kolaborasi erat yang terjalin antara JBPM Terengganu bersama rakan strategik termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta badan bukan kerajaan.
Menurutnya, sokongan berterusan daripada pihak media juga amat dihargai dalam membantu menyalurkan maklumat yang tepat, sahih dan berkesan kepada masyarakat berkaitan peranan serta usaha JBPM dalam memastikan keselamatan awam.
-AA-





