
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/BERNAMA
JOHOR BAHRU, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan operasi pembenihan awan susulan insiden kebakaran tanah gambut yang melanda beberapa lokasi di negeri ini.
Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata langkah tersebut merupakan inisiatif tambahan bagi meningkatkan kelembapan di kawasan terjejas, sekali gus menyokong keberkesanan operasi pemadaman yang sedang dijalankan.
“Pihak kerajaan memandang serius kejadian tersebut yang berpunca daripada cuaca panas dan kering berpanjangan tanpa hujan melebihi tempoh 25 hari.
“Setakat ini, tiga kawasan utama dikenal pasti terlibat dalam kebakaran berkenaan iaitu Bakri Batu 13 dan 14 di Muar, Bio-Desaru, Tanjung Balau dan Sungai Linau, Simpang Renggam,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata kesemua lokasi kini berada dalam keadaan terkawal, namun api belum dipadamkan sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dilaksanakan secara 24 jam tanpa henti melibatkan lebih 300 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tambah beliau.
Onn Hafiz berkata bagi memastikan api tidak terus merebak di bawah tanah, kerajaan negeri telah mengarahkan pelaksanaan beberapa kaedah teknikal secara agresif seperti total flooding, firebreak dan sistem pam bertekanan tinggi.
Segala kos bagi operasi menyelamat dan pemadaman itu juga katanya akan ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Bencana Negeri Johor.
Menyentuh mengenai impak cuaca ekstrem terhadap sumber air, Onn Hafiz memberi jaminan bahawa paras takungan empangan dan kolam tadahan utama di seluruh Johor masih berada pada tahap selamat.
“Pemantauan menunjukkan bekalan air adalah mencukupi untuk kegunaan domestik dan keperluan harian rakyat meskipun negara sedang berdepan musim kering.
“Kerajaan negeri komited untuk meneruskan operasi sehingga kebakaran terpadam sepenuhnya dengan sasaran penyelesaian dalam tempoh terdekat, tertakluk kepada keadaan cuaca semasa,” katanya.
-AA-





