
Laporan/Foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Tawau)
TAWAU, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Program Gotong-Royong Perdana Kukusan 4.0 di Tanah Perkuburan Islam Jalan Utara pada Ahad lepas, menarik penyertaan lebih 500 sukarelawan daripada lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan komuniti setempat menjelang Ramadan.

Rina merasmikan Program Gotong?Royong Perdana Kukusan 4.0 di Tanah Perkuburan Islam Jalan Utara, Tawau, sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan komuniti menjelang Ramadan.
Program tahunan ini diadakan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan dan menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan serta kerjasama dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata pemilihan lokasi program yang melibatkan kawasan perkuburan terbesar di Tawau itu memberi makna mendalam kepada penduduk kerana hampir setiap keluarga mempunyai ahli keluarga yang disemadikan di sana.
“Setiap kali menjelang Ramadan, masyarakat akan menziarahi pusara ahli keluarga. Justeru, kita mengambil inisiatif melaksanakan gotong-royong ini sebagai titik persamaan untuk menyemarakkan semangat perpaduan, bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi yang bukan Islam juga turut terlibat,” katanya selepas merasmikan program berkenaan, kelmarin.

Rina menyantuni peserta Program Gotong-Royong Perdana Kukusan 4.0 yang disertai lebih 500 sukarelawan.
Beliau turut memaklumkan Majlis Perbandaran Tawau kini merancang pembangunan beberapa tanah perkuburan baharu termasuk di Baradaya berhampiran Apas dan di Merotai bagi memenuhi keperluan masa depan.
Program yang turut melibatkan kutipan sisa dan pembersihan kawasan itu menunjukkan komitmen tinggi warga tempatan dalam menjaga kebersihan dan menzahirkan penghormatan terhadap waris yang telah pergi, selain memperkukuh semangat kebersamaan bersempena kedatangan bulan Ramadan.
-RJ-





