Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Imigresen Johor Tumpaskan Sindiket Flying Pasport

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JIM Johor

JOHOR BAHRU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menumpaskan sindiket Flying Pasport menerusi satu serbuan khas, Op Serkap, di sebuah pangsapuri di Taman Daya, di sini 29 Jan lalu.

Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan bagi kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150)

Pengarahnya, Dato’ Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan berterusan.

“Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa menemukan sembilan naskhah pasport yang dipercayai digunakan sebagai dokumen perjalanan bagi tujuan keluar masuk negara dengan mendapatkan cap keselamatan secara tidak teratur.

“Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Imigresen Johor merampas sembilan pasport dipercayai digunakan sebagai dokumen perjalanan untuk mendapatkan cap keselamatan secara tidak teratur

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150) dan individu tersebut kini ditahan di Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor untuk siasatan lanjut dan tindakan perundangan seterusnya.

Mohd Rusdi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dokumen perjalanan kerana ia merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyerahkan pasport mereka kepada mana-mana pihak ketiga dan segera melaporkan kepada Jabatan Imigresen sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kegiatan haram seumpama ini,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda