
Laporan/foto: Nor Haliza Ridzuan/Sufian Abdul Rashid
KUALA MENGKUANG, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Agro 2026 anjuran Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Pembangunan Koperasi Makanan Negeri Pulau Pinang memberi impak signifikan dalam memperkasa komuniti petani setempat apabila menghimpunkan lebih 1,500 peserta menerusi pelbagai inisiatif pemindahan ilmu, pameran teknologi pertanian dan aktiviti sokongan agro selama dua hari di Kampung Kuala Mengkuang.

Fahmi Zainol ketika merasmikan Jelajah Agro 2026
Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, Fahmi Zainol, menjadi platform strategik kerajaan negeri mendekati golongan petani, selain memperkukuh kefahaman terhadap dasar agroteknologi dan keterjaminan makanan yang sedang digerakkan di Pulau Pinang.
“Pelbagai inisiatif dan peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan bagi memastikan sektor pertanian terus berdaya saing, moden dan mampan dan kesemua inisiatif ini telah dilaksanakan melalui peruntukan berjumlah RM797,945.50 yang melibatkan seramai 1,693 orang petani pada tahun 2025 oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut, di sini kelmarin.
Menurut Fahmi, pelaksanaan Program Jelajah Agro 2026 bukan sahaja berperanan sebagai medium penyampaian maklumat, malah mampu meningkatkan produktiviti pertanian serta menyumbang kepada kesejahteraan petani, khususnya di Kuala Mengkuang dan kawasan sekitarnya.
Sepanjang dua hari penganjuran pelbagai aktiviti pengisian rakyat turut diadakan termasuk sukan rakyat, pertandingan memancing, pameran agensi berkaitan serta jualan Agro MADANI yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
-AA-





