
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar menerusi penganjuran Majlis Pemukiman KKDW di sini, semalam.

Ahmad Zahid melancarkan Majlis Pemukiman KKDW 2026
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata peranan KKDW melangkaui pelaksanaan dasar semata-mata.
“Ia sebaliknya turut menjadi wadah memahami jiwa desa yang membentuk asas kekuatan negara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.
Beliau turut menekankan pendekatan pentadbiran berteraskan minda korporat bagi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan pulangan nilai terbaik kepada rakyat.
“Setiap ringgit awam mesti memberi pulangan nilai yang besar kepada rakyat melalui keputusan yang pantas, peranan jelas dan prestasi yang telus,” ujarnya.

Wakil-wakil agensi di bawah KKDW yang turut hadir
Menurut beliau, Aspirasi Desa MADANI digerakkan berteraskan empat teras utama KKDW melalui kerangka D.E.S.A, selain pemukiman strategik dijadikan medan penilaian prestasi dan pelaksanaan dasar.
Antara pencapaian utama KKDW ialah penurunan kadar kemiskinan tegar daripada 0.2 peratus (2022) kepada 0.09 peratus (2024) serta kemiskinan luar bandar kepada 9.9 peratus (2024).
KKDW juga katanya mencatat prestasi perbelanjaan hampir menyeluruh, penyiapan ribuan projek akses luar bandar serta meraih tempat kedua Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi.
Kerjasama strategik dengan kerajaan negeri melalui MEXCLUB serta libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi turut memperkukuh peningkatan peruntukan pembangunan luar bandar dari tahun ke tahun.
-AA-





