
Laporan/foto: Asshari Mohd Junaidi (Kuantan)/Sh.Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang sentiasa meletakkan agenda perumahan rakyat sebagai keutamaan dalam pentadbirannya.

Sesi memotong reben sebagai simbolik perasmian
Menteri Besar Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelaksanaan projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Pahang dan skim-skim perumahan negeri bukan sekadar menyediakan tempat berteduh.
“Ia juga menjadi asas kepada kehidupan stabil, pembentukan komuniti yang harmoni serta jaminan masa depan yang lebih teratur untuk keluarga rakyat Pahang.
“Inilah semangatAspirasi Pahang 1st, iaitu pendekatan pentadbiran yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama dalam setiap dasar, perancangan dan keputusan kerajaan negeri,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap pada Majiis Penyerahan Pemilikan PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) dan Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor (Fasa 3), di sini semalam.

Wan Rosdy bergambar bersama semua penerima
Menurut Wan Rosdy, sehingga 31 Dis tahun lepas, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) telah menyiapkan 29,283 unit rumah melibatkan kos pembangunan berjumlah RM2.2 bilion dengan nilai keseluruhan sebenar pembangunan mencecah RM4.9 bilion serta pulangan kepada nilai berjumlah RM2.7 bilion.
“Ia membabitkan 9,057 unit rumah PR1MA Pahang, 212 unit Rumah Makmur, 13,873 unit rumah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), 4,168 unit rumah Program Residensi Ranyat (PRR), 1,188 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP), 384 unit Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA), 121 unit Rumah Mangsa Banjir dan 280 unit rumah Skim Tanah Warisan (STW),” jelasnya.
-AA-





