Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Rakan Niaga Belia Pendang Bentuk Disiplin Diri, Kurangkan Gejala Sosial

By 24 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)

PENDANG, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Program Rakan Niaga Belia Pendang tampil sebagai inisiatif keusahawanan yang bertujuan membantu mengurangkan pengangguran serta membendung gejala sosial dalam kalangan belia melalui penglibatan aktif dalam bidang perniagaan.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Pendang dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Pendang itu mengambil pendekatan praktikal dengan menyediakan ruang niaga kepada peserta di Bazar Ramadan Tanah Merah sepanjang bulan Ramadan ini.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pendang Samiuon Shomidun berkata penglibatan belia dalam bidang perniagaan bukan sahaja membuka peluang menjana pendapatan, malah menjadi medium membentuk disiplin, jati diri serta daya tahan dalam menghadapi cabaran.

“Keusahawanan merupakan antara pendekatan berkesan dalam membendung gejala sosial kerana belia didedahkan dengan tanggungjawab, pengurusan kewangan dan komitmen terhadap perniagaan.

“Melalui program ini, kita mahu mereka memperoleh pengalaman sebenar berniaga, sekali gus membina keyakinan diri dan kemahiran yang boleh dimanfaatkan pada masa depan,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Menurut beliau, hasil jualan yang diperoleh turut dijadikan dana bagi merealisasikan misi pendakian Gunung Kinabalu yang dirancang sebagai simbol cabaran dan kejayaan peserta program.

Katanya, penyertaan dalam misi berkenaan diharap dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada belia untuk terus berusaha mencapai matlamat dalam bidang keusahawanan dan kehidupan.

Sempena Ramadan, peserta program menawarkan menu Nasi Pakistan dan Air Tebu kepada pengunjung bazar sebagai produk jualan utama.

-RI

Tinggalkan komen anda