
Laporan/foto: Rose Ryqal/Norieza Ghaffar (Kuala Langat)
KUALA LANGAT, 24 Feb (MalaysiaAktif) –Sebanyak 15 lokasi Bazar Ramadan beroperasi di daerah ini tahun ini, dengan Bazar Ramadan Kanchong Darat muncul antara lokasi paling mendapat sambutan susulan susun atur yang teratur dan persekitaran yang selesa untuk dikunjungi.

Situasi Bazar Ramadan Kanchong Ramadan di awal petang.
Bazar berkenaan menarik kehadiran ramai pengunjung setiap petang, sekali gus memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan tambahan menjelang Aidilfitri.
Seorang peniaga, Mohd Yatim Ahmad, 60, berkata dia menjual martabak Jawa di bazar berkenaan pada setiap tahun dan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Saya kekalkan harga murtabak RM5 walaupun ada peniaga lain menaikkan harga. Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menstabilkan harga bahan mentah seperti tepung, gula dan telur, jadi saya rasa tidak wajar menaikkan harga,” katanya.

Wak Yatim mengekalkan harga martabak Jawa RM5 sekeping.
Seorang pengunjung, Sofia Aina Saiful, 18, berkata dia suka berkunjung ke bazar itu kerana susun aturnya yang panjang dan selesa selain menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa.
“Saya datang hampir setiap hari dan akan mencuba menu berbeza,” katanya.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat menitikberatkan aspek kebersihan dengan meletakkan syarat agar peniaga sentiasa menjaga kebersihan sepanjang tempoh perniagaan.
-RI





