
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Facebook RISDA Negeri Johor (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Johor menerima peruntukan berjumlah RM11.53 juta bagi tahun 2026 untuk memperkukuh pembangunan sektor komoditi getah serta meningkatkan kesejahteraan komuniti pekebun kecil di negeri ini.

Manndzri Nasib ketika berucap pada Program Pekebun Kecil Makmur 2026 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya
Pengerusinya merangkap Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib berkata peruntukan itu akan dimanfaatkan menerusi empat komponen utama di bawah pelaksanaan RISDA.
“Peruntukan ini bertujuan memperkukuh sektor komoditi getah melalui pembangunan komuniti pekebun kecil di bawah seliaan RISDA.
“Dana berkenaan akan dimanfaatkan menerusi empat komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah, Program Pengembangan dan Pemindahan Teknologi, Program Produktiviti dan Pemasaran serta Program Usahawan dan Agromakanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur (PKM) Peringkat Negeri Johor Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa RISDA sentiasa prihatin terhadap cabaran semasa yang dihadapi pekebun kecil, justeru pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan termasuk langkah sebagai pembeli utama getah serta pelaksanaan segmentasi kayu getah bagi memastikan pekebun kecil memperoleh harga yang lebih kompetitif dan berdaya saing.
-AA-





