Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Ranhill SAJ Laksana Jadual Baharu BAB Di Kluang dan Pontian

By 15 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) akan melaksanakan jadual baharu Bekalan Air Berjadual (BAB) melibatkan daerah Kluang dan Pontian berkuat kuasa 16 hingga 28 Februari ini susulan kecenderungan penurunan paras air di Empangan Machap yang kini berada di bawah pemantauan rapi akibat fenomena cuaca kering.

Pembahagian bekalan adalah mengikut zon dan jadual yang ditetapkan dengan zon A membabitkan 129 kawasan, zon B 169 kawasan dan zon C, 146

Ranhill SAJ dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan pengagihan bekalan air di kawasan terlibat akan dilaksanakan mengikut ketetapan 24 jam bekalan air, diikuti 48 jam tanpa bekalan mengikut zon yang telah ditetapkan.

“Pelaksanaan jadual ini bertujuan memastikan pengurusan sumber air mentah dilaksanakan secara terkawal, selain menstabilkan operasi loji rawatan air (LRA) dalam keadaan kapasiti yang terhad,” menurut kenyataan itu.

Walaupun berdepan kekangan sumber, LRA Simpang Renggam dilaporkan masih beroperasi secara konsisten bagi menyalurkan air terawat kepada pengguna, namun kadar pengeluarannya diselaraskan demi menjamin kesinambungan bekalan secara mampan.

Bagi mengurangkan impak kepada penduduk, Ranhill SAJ telah menggerakkan bantuan sokongan di lokasi strategik melalui penghantaran lori tangki air, penyediaan tangki statik, serta agihan bekalan air mineral mengikut keperluan semasa.

Pihak operator air tersebut turut menasihati pengguna agar menggunakan air secara berhemah, mengelakkan pembaziran serta menyimpan bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan asas sepanjang tempoh gangguan tersebut.

Ranhill SAJ menegaskan bahawa pemantauan rapi terhadap situasi semasa akan terus dilakukan dan maklumat terkini akan disalurkan kepada orang awam dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi.

-AA-

Tinggalkan komen anda