Skip to main content
Berita TempatanSabah

Seminar Nilai Murni Perkukuh Perkhidmatan HQE

By 17 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Siti Mariam Aziz Rashid/Unit Komunikasi Korporat, Hospital Queen Elizabeth

KOTA KINABALU, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Warga Hospital Queen Elizabeth (HQE) digalakkan untuk terus mempergiat penganjuran program berteraskan penerapan nilai-nilai murni bagi memperkukuh penghayatan kerohanian dalam kalangan kakitangan sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Cawangan HQE, Dr. Syahiskandar Sybil Shah berkata, seminar berunsur keagamaan bukan sahaja membentuk individu yang berpegang teguh kepada tuntutan agama, malah memberi impak positif terhadap kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Menurut beliau, pihak hospital melalui PERKIPS Cawangan HQE sentiasa digalak untuk aktif menganjurkan program keilmuan dalam kalangan warga kerja serta melibatkan ahli keluarga agar mesej kerohanian dapat disampaikan secara menyeluruh.

Barisan urus setia yang juga ahli Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Cawangan HQE yang menjayakan penganjuran seminar berkenaan.

“Penerapan nilai-nilai murni tidak hanya tertumpu kepada pengukuhan nilai Islam dalam perkhidmatan, malah perlu diperkaya dengan kemahiran lain seperti semangat bermasyarakat dan kepekaan terhadap perubahan persekitaran.

“Seminar keagamaan memberi pengaruh besar dalam kehidupan kita, bukan sahaja sebagai penjawat awam atau anggota organisasi kerajaan, malah sebagai anggota masyarakat dan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Penerapan Nilai-Nilai Murni Peringkat HQE anjuran bersama PERKIPS Cawangan HQE dan Unit Hal Ehwal Islam HQE di sini, Sabtu.

Seminar bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’ itu turut diserikan dengan pelbagai pertandingan membabitkan penyertaan warga HQE serta anak-anak kakitangan.

Antara acara yang dipertandingkan ialah Tilawah al-Quran, Nasyid, Hafazan, Pidato dan Bercerita Kisah-Kisah Nabi.

Kumpulan Humairah dari Bahagian Pengurusan muncul johan pertandingan Nasyid Peringkat HQE.

Bagi pertandingan Tilawah al-Quran, kategori Qari dimenangi oleh Ustaz Jamil Salihin, Petugas Mesra Ibadah manakala kategori Qariah dimenangi oleh SN Munirah Mahali dari Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Kumpulan Humairah mewakili Bahagian Pengurusan muncul johan pertandingan Nasyid.

Dalam kategori Hafazan, Nurul Husna Mohd. Kulah menjuarai Hafazan Tahap 1, manakala Hafazan Tahap 2 dimenangi oleh Luqman Thaqif Mohd. Ridley.

Pertandingan Pidato pula dimenangi oleh Ahmad Iffat Mikail Hairudin manakala Muhammad Bahiuddin Hamidi menjuarai pertandingan Bercerita Kisah-Kisah Nabi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda