
Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS (Sarawak)
SRI AMAN, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Bahagian Sri Aman dipilih sebagai tuan rumah Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 2026 yang dijadualkan berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman pada 6 Mac ini.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, majlis yang akan bermula pada jam 6 petang itu dijangka menghimpunkan lebih 1,500 hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negeri.

Mahra Salleh ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 2026 di Sri Aman.
Menurut beliau, majlis berkenaan dijadualkan diserikan dengan kehadiran Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, selain Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg.
“Pemilihan Masjid Bandar Sri Aman sebagai lokasi penganjuran tahun ini amat signifikan kerana ia merupakan aktiviti Islam peringkat negeri terakhir yang diadakan di masjid ini sebelum ia dirobohkan.
“Kerja pembinaan semula masjid dijadualkan bermula pada Januari 2027. Ini menjadi detik bersejarah khususnya kepada masyarakat Islam di Sri Aman kerana masjid ini sekian lama menjadi pusat perkembangan syiar Islam di bahagian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 2026 di Bilik Mesyuarat Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), semalam.

Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Kamarulzaman Haji Kawi (dua, kanan), berbincang bersama ahli jawatankuasa penganjuran mengenai pengisian Seminar Al-Quran bagi memperkasa penghayatan kitab suci dalam kalangan masyarakat setempat.
Selain acara kemuncak, beberapa aktiviti sampingan turut dirancang termasuk Seminar Saudara Kita anjuran Bahagian Kemajuan Saudara Kita (BKSK) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), serta Seminar Al-Quran bagi memperkasa penghayatan terhadap kitab suci itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan berkenaan sebagai tanda kebersamaan dalam menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran serta memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Timbalan Pengarah 2 (Operasi) JAIS, Ustaz Haji Wan Shaifuddin Wan Madihi; Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat JAIS, Ustaz Helmi Dato Haji Nahrawi; serta Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Kamarulzaman Haji Kawi.
-RJ-





