Skip to main content
Berita TempatanSarawak

300 Jemaah Tunai Solat Sunat Khusuf Sri Aman

By 4 Mac 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Fenomena gerhana bulan penuh malam tadi menarik kehadiran lebih 300 jemaah ke Masjid Bandar Sri Aman bagi menunaikan solat sunat Khusuf.

Seawal Maghrib, jemaah pelbagai peringkat usia mula memenuhi ruang solat untuk menyaksikan kejadian tersebut sambil mengimarahkan masjid dengan pengisian rohani.

Solat sunat itu dilaksanakan selepas Isyak dan diimamkan oleh Imam Bahagian Sri Aman, Abang Azman Abang Muhammad sebelum diteruskan dengan khutbah khas gerhana serta solat sunat Tarawih.

Abang Azman menerangkan tatacara dan kaifiat solat sunat Khusuf kepada jemaah sebelum pelaksanaan solat bersempena fenomena gerhana bulan penuh di Masjid Bandar Sri Aman, malam tadi.

“Gerhana merupakan tanda kebesaran Allah SWT dan tidak wajar dikaitkan dengan unsur khurafat,” katanya ketika menyampaikan khutbah di masjid tersebut, malam tadi.

“Kita digalakkan mengambil peluang ketika fenomena ini berlaku untuk memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar,” katanya.

“Jadikan peristiwa ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan ketakwaan serta meninggalkan kepercayaan yang tidak bersandarkan agama,” ujarnya.

Di Sarawak, gerhana penuh bermula pada jam 7.04 malam, mencapai kemuncak pada jam 7.33 malam dan berakhir sekitar jam 8.02 malam dengan bulan kelihatan bertukar warna kemerah-merahan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda