
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)
TAPAH, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Jualan khas happy hour bagi daging lembu tempatan pada harga RM11 sekilogram menarik ramai pengunjung ke Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Chenderiang yang berlangsung di Arena Mumtaz, Sekolah Kebangsaan Kampong Pahang, semalam.

Jualan khas happy hour pada Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Chenderiang
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Dato’ Mohd. Zolkafly Harun berkata harga jualan biasa daging berkenaan adalah RM21 sekilogram.
“Selain itu, kita turut menyediakan Jualan Kombo MADANI pada harga hanya RM5 yang mengandungi seekor ayam, sekotak santan, 10 biji telur ayam serta ubi kentang bagi memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Choong Shin Heng berkata sebanyak 150 kotak makanan turut disampaikan kepada golongan miskin tegar bagi membantu meringankan beban mereka.
Selain jualan barangan keperluan, pengunjung turut menikmati pelbagai perkhidmatan percuma yang disediakan termasuk perkhidmatan gunting rambut dan penukaran minyak hitam kenderaan secara percuma.
-AA-






