Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanPahang

Jualan Murah LKIM Dapat Sambutan Luar Biasa, Lebih 1 Tan Ikan Habis Dalam Sejam

By 10 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Erzufariza Z (Rompin)/Pejabat ADUN Lantikan Rompin

ROMPIN, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Program jualan murah barangan makanan laut dan bahan mentah di bawah Program Agro Jualan MADANI anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bandar Lama Kuala Rompin mendapat sambutan luar biasa apabila lebih satu tan ikan berjaya dijual dalam tempoh kira-kira sejam selepas jualan dibuka kepada orang ramai, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Mohd Fazli Mohd Ramly berkata sambutan hangat daripada penduduk membuktikan inisiatif jualan murah seperti ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat, khususnya dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.

Pengerusi LKIM menyampaikan ucapan ringkas sambil menunjukkan ikan segar kepada pengunjung ketika program tersebut berlangsung.

Menurut beliau, program berkenaan direalisasikan hasil kerjasama dan sokongan pihak LKIM yang bersetuju memenuhi permintaan untuk mengadakan jualan tersebut di Rompin.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila dalam tempoh kira-kira sejam sahaja lebih satu tan ikan telah habis terjual. Kehadiran orang ramai yang datang seawal pagi jelas menunjukkan keperluan program seperti ini kepada rakyat,” katanya.

Program yang menawarkan pelbagai jenis makanan laut segar selain ayam dan daging lembu itu menarik kehadiran ratusan penduduk sekitar yang sanggup datang seawal jam 6.30 pagi bagi mendapatkan bekalan pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai jenis makanan laut segar yang ditawarkan pada harga lebih murah pada program tersebut.

Beliau turut memohon maaf kepada penduduk yang tidak sempat mendapatkan barangan kerana kehadiran yang jauh melebihi jangkaan pihak penganjur.

“Permintaan yang sangat tinggi menyebabkan bekalan habis dengan cepat. Namun pihak LKIM memaklumkan bahawa kehadiran orang ramai di Rompin antara yang paling memberangsangkan bagi program seumpama ini,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Mohd Fazli berharap program jualan murah seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi lebih banyak peluang kepada rakyat mendapatkan barangan makanan segar pada harga berpatutan.

-RI

Tinggalkan komen anda