
Laporan/foto: Nor Haliza Ridzuan/Najmi Ariffin (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Program Satelit Khas: Kenduri Rakyat MADANI anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri berlangsung meriah di Masjid Al-Falah Pengkalan Tambang, di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menyantuni pelajar yang turut hadir ke program ini
Program berteraskan komuniti itu menghimpunkan pelbagai pengisian bermanfaat termasuk majlis berbuka puasa, pengisian kerohanian, perkongsian kenegaraan, Jualan RAHMAH, penyampaian sumbangan zakat serta solat berjemaah yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid bersama wakil jabatan dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pelajar institusi pendidikan serta komuniti setempat.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa.

Sesi penyerahan zakat dan bantuan kebajikan bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong kesejahteraan golongan yang memerlukan
“Program seperti Kenduri Rakyat MADANI ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah membolehkan rakyat merasai sendiri keprihatinan kerajaan melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti,” katanya.
Keunikan program ini terserlah apabila elemen ibadah digabungkan dengan khidmat kepada rakyat dalam satu platform menyeluruh.
Inisiatif seperti Jualan RAHMAH membantu meringankan kos sara hidup, manakala sumbangan zakat dan bantuan kebajikan pula menyokong kesejahteraan golongan memerlukan.
-AA-






