
Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 100 golongan asnaf Kampung Bok Bak, di sini menerima Sumbangan Bakul MADANI menerusi Program Kembara Ramadan MADANI 2026 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melalui YADIM Kedah/Perlis, semalam.

Sumbangan Bakul MADANI kepada Salbiah Mansor.
Pengarahnya Dr. Ahmad Mujahid Abdullah berkata usaha itu sebagai membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan berbuka puasa serta menjalani ibadah Ramadan.
“Ramadan adalah bulan rahmat dan peluang terbaik untuk kita memperbanyakkan amalan kebajikan serta berkongsi rezeki. Program ini bukan sahaja menyampaikan sumbangan, malah mengeratkan ukhuwah antara agensi dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pada program berkenaan yang turut dianjurkan secara kolaborasi dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bok Bak.
Beliau berkata Kembara Ramadan MADANI merupakan inisiatif tahunan YADIM dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan, di samping memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi dan komuniti setempat.

Gotong Royong memasak penduduk Kampung Bok Bak.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan Salbiah Mansor, meluahkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan pihak penganjur yang tidak melupakan golongan asnaf di Kampung Bok Bak.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada YADIM serta semua pihak yang terlibat. Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu kami membuat persiapan berbuka puasa dan menyambut Ramadan dengan lebih tenang,” katanya.
Penganjuran program seumpama ini mampu memperkasa agenda kebajikan dan dakwah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-RI






