
Laporan/foto: Aini
KANGAR, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Trend masyarakat moden kini yang membeli pakaian raya siap dijahit menjelang Aidilfitri turut memberi tempias kepada kedai alteration (mengubah suai).

Baju kurung wanita antara yang banyak diterima Zaltera Alteration Shop.
Situasi itu menjadikan perniagaan tersebut semakin sibuk dengan kehadiran pelanggan yang datang untuk mengubah suai pakaian agar lebih sesuai dengan saiz badan terutama pada minggu-minggu terakhir Ramadan sebagai persiapan akhir menyambut Syawal.
Pekerja Zaltera Alteration Shop yang terletak di Giant Kangar, Azmina Azmi, 26, berkata sebelum ini, perusahaan yang baru beroperasi awal Mac itu hanya menerima purata 50 pelanggan harian.
Namun, kedainya kini menerima lebih 200 helai pakaian untuk kerja-kerja mengubah suai terutama di hujung Ramadan bagi mereka yang ingin mengubah suai pakaian raya seperti baju kurung, baju Melayu serta pakaian moden.
“Ramai pelanggan membeli pakaian siap jahit kerana lebih mudah dan cepat, namun kebiasaannya mereka masih perlu membuat sedikit ubah suai supaya pakaian tersebut lebih ‘terletak’ dan kemas dipakai pada hari raya.

Azmina fokus memotong bahagian tangan pakaian baju Melayu pelanggan.
“Baju lelaki kadang-kadang lebih ‘renyah’ untuk diubah suai kerana potongannya perlu tepat supaya nampak kemas apabila dipakai,” katanya ketika ditemui di premis cawangan Kangar, di sini hari ini.
Selain pakaian dewasa, kedai tersebut turut menerima tempahan mengubah suai untuk pakaian kanak-kanak lelaki dan perempuan, terutama bagi memastikan pakaian yang dibeli sesuai dengan saiz mereka.
Situasi ini membuktikan bahawa perkhidmatan mengubah suai pakaian merupakan antara perniagaan bermusim yang menerima peningkatan pelanggan setiap kali menjelang Aidilfitri.
Keadaan ini sekali gus menunjukkan bahawa perkhidmatan tersebut terus mendapat sambutan apabila masyarakat membuat persiapan akhir bagi memastikan pakaian raya tampil kemas dan selesa dipakai menjelang Syawal.
-RI





