
Laporan/foto: Salleh Immun/Afidah Akim/Ambrose Wenanddo (Mukah)
MUKAH, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Pesta Kaul Mukah 2026 dijangka lebih meriah dengan pelbagai pengisian menarik yang mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi masyarakat Melanau serta berpotensi menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yaakub Arbi berkata penganjuran kali ini dirancang secara menyeluruh bagi memastikan elemen warisan, kebudayaan dan pelancongan dapat digarap dengan berkesan.
“Antara aktiviti yang dirancang ialah Pertandingan Ratu Cantik Teluwaih Jinih, Lumba Bidar Lukut, Pertandingan Bermukun, Pertandingan Masakan Melanau serta persembahan kesenian dan kebudayaan.
“Pesta akan bermula pada 25 April dengan Upacara Serahang Kakan sebagai simbolik pembukaan rasmi,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pesta Kaul Mukah Bilangan 3/2026 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Sarawak, di sini hari ini.
Upacara tersebut melibatkan perarakan perahu berhias yang membawa ‘serahang’ daripada daun buluh dan nipah, diisi juadah tradisional seperti bertih, telur ayam, pulut kuning, kirai serta sirih untuk dipersembahkan kepada ipok, iaitu penjaga laut menurut kepercayaan masyarakat Melanau.
Pesta akan berlangsung sehingga 3 Mei dengan Majlis Perasmian pada 2 Mei di Tapak Kaul Mukah dijangka disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, manakala Upacara Keman Kaul pada 3 Mei akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri SarawakTun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Melanau Mukah (PMM) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta menjadi faktor penting kejayaan penganjuran pesta tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Yaakub menasihatkan masyarakat merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan, sekali gus menjemput orang ramai untuk merasai keunikan Pesta Kaul Mukah 2026.
-FN





