
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Victor Blasius (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Sebanyak 700 pek makanan berbuka puasa diagihkan kepada anggota keselamatan dan kesihatan menerusi Program Santuni Wira MADANI di sekitar Kota Kinabalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata program tersebut mencerminkan komitmen kerajaan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Sesi penyerahan pek berbuka puasa Rezeki Ramadan MADANI di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas turut disertai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr William Gotulis (empat dari kiri).
“Program ini adalah usaha Kerajaan MADANI untuk mengiktiraf sumbangan besar wira negara yang mempertahankan kedaulatan negara serta menjaga kebajikan rakyat khususnya dari segi kesihatan.
“Pihak Jabatan Perdana Menteri ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wira negara yang bertungkus lumus memberikan khidmat kepada rakyat Malaysia khususnya di Sabah,” katanya selepas menamatkan jelajah Program Santuni Wira MADANI di Balai Polis Inanam, di sini pada Sabtu.
Program dengan kerjasama strategik Pejabat Pembangunan Negeri Sabah dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu turut dilaksanakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Balai Polis Inanam merupakan lokasi terakhir Jelajah Program Santuni Wira MADANI Kepada Petugas Barisan Hadapan Sabah.
Sementara itu Ketua Polis Balai Inanam Sub Insp Abdul Halim Johari menghargai komitmen kerajaan yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan anggota barisan hadapan.
“Terima kasih kepada pihak Jabatan Perdana Menteri atas sumbangan melalui rezeki Ramadan MADANI dan kami di barisan hadapan amat menghargai ingatan ini khususnya kepada anggota Balai Polis Inanam, Manggatal dan Alamesra,” ujarnya.
-RJ-





