
Laporan/foto: Regina Lasia (Telang Usan)
TELANG USAN, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Program Randau Pembangunan Siri 3 yang berlangsung di Dewan SJK(C) Kee Tee, Long Lama semalam menghimpunkan kira-kira 400 peserta terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Pemanca, Penghulu serta wakil jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu pembangunan daerah.

Sesi Randau Pembangunan (Townhall) bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum berlangsung di Dewan SJK(C) Kee Tee, Long Lama.
Program tersebut memfokuskan penyampaian maklumat berkaitan dasar pembangunan kerajaan meliputi sektor awam dan swasta bagi memastikan kepimpinan akar umbi memahami serta menyokong pelaksanaan setiap inisiatif.
Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda berkata sesi dialog itu menjadi platform penting untuk merungkai cabaran di lapangan termasuk isu laluan darat, kekangan kos dan teknikal.
“Program randau kali ini menekankan konsep 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge bagi memastikan prosedur kerja sentiasa relevan, mencari penyelesaian secara kreatif dan inovatif, serta memberi tenaga baharu dengan meningkatkan kemahiran dan kapasiti dalam merealisasikan visi pembangunan kerajaan Negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Selain pembangunan fizikal, perbincangan turut menyentuh isu kesejahteraan sosial termasuk ancaman penyalahgunaan dadah dalam komuniti.
Antara agensi terlibat ialah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Kerja Raya Miri, Majlis Daerah Marudi, Sarawak Energy Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Miri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Miri serta Sara Carbon Sdn Bhd.
Turut hadir Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu, Temenggong Elizabeth dan Temenggong Joseph Ngau Lian bersama pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.
-RJ-






