
Laporan/foto: Ismail Hassan/M.Sures Maniam (Kota Setar)
ALOR SETAR, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Program Derma Darah Ramadan anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Bahiyah berjaya mengumpul 124 beg darah hasil penyertaan menggalakkan dari masyarakat setempat.

Lawatan Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah menyuntik semangat para penderma darah yang tetap tampil menghulurkan bantuan walaupun dalam bulan Ramadan
Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Fauziah Abdul Wahab berkata pencapaian itu membuktikan keprihatinan berterusan warga Kota Setar dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma serta sukarelawan yang tampil membantu. Semoga amalan murni ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya sepanjang Ramadan,” katanya.
Program yang turut mendapat kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kedah, Persatuan Cahaya Harapan Negeri Kedah Perlis serta Kelab Lions Alor Setar itu berlangsung selama dua hari bermula kelmarin hingga hari ini di Kompleks Dewan Teratai, Kompleks Belia dan Sukan Jalan Stadium, Bandar Alor Setar, di sini.
Selain aktiviti derma darah, program turut menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan percuma melibatkan ujian HIV/AIDS, sifilis dan hepatitis C bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan amalan pencegahan penyakit berjangkit.
Antara penderma yang menarik perhatian ialah pasangan suami isteri, Mohd Hafif Akmal, 34, dan isterinya Faiedah Najihah, yang menyatakan bulan puasa bukan penghalang untuk mereka terus menyumbang darah.
-AA-





